Thursday, January 20, 2011

Pengertian Seni Visual


Pengertian

Seni merupakan istilah yang sukar ditakrifkan memandangkan perkataan ini boleh digunakan mengikut bidang masing-masing dengan makna yang lain. Dalam istilah bahasa, seni bermaksud halus, cantik, teknik dan sesuatu yang bukan sains. Akan tetapi, ada yang menterjemahkan seni sebagai sesuatu yang cantik, indah, baik, dan cerdik yang boleh ditanggap melalui pancaindera seperti mata dan telinga. Dalam era moden ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Ia merupakan bidang yang berupaya untuk penghasilan dan pencipataan sesuatu karya dan ciptaan untuk manusia semata-mata untuk keindahan ataupun sesuatu fungsi kegunaan yang tertentu. Jadi, seni adalah ilmu terhasil daripada budaya dan agama dalam menghasilkan sesuatu untuk tujuan pemujaan Tuhan, menyebarkan nilai-nilai budaya seperti pakaian, dan sebagainya. Seni juga terhasil daripada industri yang bertujuan untuk menghasil sesuatu yang berorientasikan keuntungan dan bercirikan komersil melalui penciptaan barang yang berguna dalam kehidupan harian.

Seni juga boleh dipandang dari segi nilainya. Sesuatu yang indah tidak boleh dinilai dalam sebutan harga, walaupun masih ada yang menjualkannya pada harga yang melambung tinggi. Nilai kesenian itu terus diturunkan kepada generasi yang lain di mana ia menjadi satu sejarah atau pantulan yang mengisahkan tentang masa silang.


Seni secara umum agak luas seperti seni tari, seni muzik, seni bina, seni lakon, seni silat, seni ukir, seni lukis, seni kraf, seni penulisan dan sebagainya. Kesenian ini sebenarnya ada kategorinya sendiri umpamanya Seni Persembahan (meliputi seni lakon, seni suara dan sebagainya), Seni Penulisan Kreatif (penulisan cerpen, puisi, skrip drama dan sebagainya), dan Seni Visual/Tampak (meliputi seni Kraf, seni lukis, seni ukir, seni bina dan sebagainya).

Visual atau Tampak secara terminologinya bermaksud boleh dilihat atau disentuh. Jadi yang tergolong dalam sesuatu yang boleh dilihat dan disentuh ialah catan, lukisan, arca, ukiran, binaan bangunan dan sebagainya. Ia bukan setakat dilihat tetapi ia perlu difahami maksudnya atau sekurang-kurangnya teknik membuatnya, siapa membuatnya, mengapa ia dibuat, apa fungsinya, apa rujukannya, apa ideanya dan sebagainya. Maka ini akan menjurus kepada apresiasi pula di mana proses pemahaman dan kritikan berlaku baik secara lisan mahupun bertulis.

Proses apresiasi ini pula melibatkan penggunaan laras bahasa tampak tertentu seperti unsur-unsur seni (garisan, rupa, bentuk, ruang, jalinan, dan warna), prinsip rekaan (harmoni, kepelbagaian, kontra, penegasan, imbangan, pergerakan/irama/rentak/pengulangan, kesatuan dan ekonomi), bahan dan alat, teknik dan gayaan, terminologi dan simbol. Komunikasi akan menjadi lebih berkesan jika laras bahasa ini dikuasasi sepenuhnya oleh individu atau masyarakat.

Konsep Seni Visual

Konsep seni visual boleh difahami berdasarkan aspek seperti pernyataan diri self-expression), pengalaman dan sensasi visual dan sentuh, 2D dan 3D, komunikasi visual, bahasa seni visual, isi dan mesej, imej, form, content, benda – subjek, objek berfungsi/kegunaan, nilai estetik, ciri-ciri kreatif, pelukis/pandai tukang dan karya seni, asas seni reka dan berbagai aspek lain. Berikut diterangkan secara terperinci aspek-aspek berkenaan.

Penyataan Diri (self – expression)

Bermaksud meluahkan atau menyatakan apa yang dirasa dan difikir secara bebas. Penyataan atau luahan ini haruslah ada mediumnya dan medium itu biasanya berupa permukaan yang boleh dicalitkan atau digoreskan. Catan, arca, lukisan merupakan produk hasil daripada ekspresi diri ini dalam konteks seni visual. Kanak-kanak merupakan golongan yang gemar menyatakan ekspresi diri ini. Ekspresi diri kanak-kanak adalah lebih tulen kerana mereka menyatakan perasaan tanpa sedar dan tanpa diarah oleh sesiapa. Sebab itu kita kerap melihat kanak-kanak suka menconteng. Tampakan yang mereka hasilkan nampak bersahaja dan tidak terkawal.
Golongan pelukis pula menyatakan ekspresi diri mereka melalui catan, arca atau lukisan. Contoh pelukis seperti Vincent Van Gogh, Jackson Pollock. Kesimpulannya, Seni Visual adalah penyataan perasaan, emosi, idea dan manifestasi fikiran.

Pengalaman 2D/3D (Sensasi Visual dan Sentuh)

Seni Visual juga dikenali dan difahami sebagai sesuatu yang bersifat 2D atau 3D secara fiziknya. Deria sentuh dan deria penglihatan terlibat dalam konteks ini. Arca, ukiran merupakan produk seni yang boleh dinikmati melalui sentuhan dan bersifat 3D. Manakala catan, lukisan, cetakan merupakan produk seni yang boleh dinikmati dengan deria penglihatan dan bersifat 2D.

Bahasa Seni (laras bahasa) 

Seperti juga bidang yang lain, seni tampak juga mempunyai laras bahasanya sendiri. Bidang sastera ada laras bahasa sendiri seperti monolog, imbas kembali, dan lain-lain. Seni tampak pula mempunyai laras bahasanya sendiri seperti unsur-unsur seni (warna, jalinan dan lain-lain ), prinsip rekaan (kontra, harmoni, pergerakan dan lain-lain), bahan dan alat (berus, plaster, cat minyak dan lain-lain), teknik dan gayaan (basah atas basah, realistik dan lain-lain). Tanpa pengetahuan laras bahasa ini, seni dilihat tanpa makna.

Kandungan/Isi/Mesej (Contents / makna)

Seni Visual juga diertikan sebagai suatu produk yang mempunyai makna atau isi. Sebelum wujudnya fotografi manusia merakam peristiwa dalam bentuk visual 2D seperti manuskrip, lukisan dinding, catan dinding dan seumpamanya. Contoh dalam lukisan dinding di pyramid mesir atau catan lanskap oleh Abdullah Arif (Ladang Kelapa ). Seni tampak atau visual juga merakamkan pencapaian manusia dan menggambarkan tentang nilai, kepercayaan dan sikap social. Karya seni merupakan rakaman sejarah dan budaya secara tampak.
Biasanya mesej atau maksud dalam sesuatu karya seni visual itu hanya diketahui secara jelas oleh pihak primer iaitu pengkarya sendiri. Ia ditafsir secara berlainan oleh pihak kedua (sekunder) atau pengkritik/audien.



1) Menurut Herbert Read, seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan , keseronokan dan kesenangan estetik . Kesenangan estetik adalah kesenangan dan keceriaan kepada pihak yang menerima mesej dan pihak penerima mesej tersebut akan saling bersama menyempurnakan mesej – mesej yang disampaikan . .
Dengan lain perkataan , komunikasi yang berkesan hanya akan berlaku dengan sempurna apabila mesej pengirim dapat diterima dengan tepat oleh sipenerima. 

2) Sementara itu , menurut Muslim dalam Kitab Al-Iman , menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui .
- Bagi orang yang mempunyai ilmu seni apabila bertemu dengan objek alam semulajadi seperti bunga , daun , haiwan dan sebagainya, ia akan dapat mencipta dan melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap objek tersebut melalui karya seni atau setidak-tidaknya , ia akan dapat menghargai objek tersebut .
- Penyisihan atau penolakan akan berlaku apabila seseorang bertemu dengan objek yang ia tidak mempunyai pengetahuan tidaklah mempunyai pengetahuan mengenainya . 

3) Berlandaskan kepada faktor bahawa kesenangan dan keindahan estetik memerlukan ilmu dan pengetahuan , tidaklah menghairankan jika dalam mendefinasikan maksud seni terdapat banyak pendapat yang berbeza . Perbezaan tersebut berlaku disebabkan oleh beberapa faktor bergantung kepada ,
• Tinggi atau rendahnya ilmu pengetahuan seseorang 
• Falsafah , estetik dan pegangan budaya seseorang atau sesuatu bangsa .
• Zaman atau era ( masa ) 
Lantaran itu terdapat beberapa pendapat mengatakan bahawa seni adalah pernyataan diri ( art as self-expression ) .
Mereka yang berpegang kepada pendapat ini beranggapan bahawa Seni Halus iaitu catan , arca lukisan dan cetakan sahajalah yang dapat diterima sebagai seni , kerana melalui aktiviti tersebutlah pernyataan diri dapat dilahirkan dengan bebas .
Frank Cizek menyatakan bahawa terdapat daya kreatif yang hebat dalam diri kanak-kanak yang memerlukan jalan keluar untuk menyatakan ekspresi diri .Oleh itu kanak- kanak seharusnya diberi ruang dan peluang untuk melukis tentang apa yang mereka mahu , tentang apa yang mereka lihat dari kaca mata mereka sendiri , bukan melukis tentang apa yang orang lain fikiran .
Berlainan pula dengan pendapat Walter Gropius ( Bayer , Gropius and Qropius ) – German Bauhaus (1991 ) yang berpendapat bahawa kraf dan rekabentuk adalah seni Halus . Seni seharusnya memberi faedah dan berfungsi kepada kehidupan seharian dan masyarakat bukan sekadar untuk menyatakan hasrat diri . 
Pada tahun 1930an satu kajian telah dibuat oleh Owatonna Art Education Study Project , University Of Minnesota – mengangkat slogan “ Art , a way of life” iaitu seni Halus tidak seharusnya terasing dengan Seni Gunaan kerana kedua-duanya merangkumi aspek kehidupan .